Publication: Harian Metro – Business / Page 29
KERJASAMA… Tiah (kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Jones.
TA Properties Sdn Bhd (TA Properties), anak syarikat milik penuh TA Enterprise Bhd menjalinkan kerjasama dengan syarikat teknologi maklumat, IFCA MSC Sdn Bhd bagi menyediakan penyelesaian perniagaan bersepadu berasakan Internet.
Penyelesaian itu akan membolehkan TA Properties berhubung dengan pembekal, rakan niaga dan pelangganya selain menyelaraskan keseluruhan perniagaan hartanahnya seperti aktiviti pengurusan jualan, tempahan dan maklum balas daripada pelanggan.
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Alicia Tiah, berkata TA Properties terbabit secara serius dalam pembangunan hartanah di kawasan mewah sekitar Lembah Klang.
Selain itu, TA Enterprise juga memiliki beberapa hartanah di luar Negara seperti Radisson Plaza di Sydney, Australia dan Terasen Centre, di Vancouver, Kanada.
"Sehingga ini, TA Proeprties sedang membangunkan kediaman di Idaman Villas Damansara, Damansara Idaman dan Idaman Residence Condo."
"Kami juga akan melancarkan dua lagi projek hartanah di Lembah Klang termasuk projek perumahan mesra alam mewah di Ampang Hilir," katanya di Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama Pengarah Eksekutif TA Properties, Kimmy Khoo, Pengurus Besar IFCA Solutions Sdn Bhd, Kuan Seng Wood dan Pengarah Eksekutif IFCA MSC Bhd, Ian Jeremy Jones.
Sementara itu, Tiah berkata, pihaknya juga bercadang menyenaraikan amanah pelaburan hartanah (Reit) membabitkan tiga hartanahnya iaitu Menata TA One di Kuala Lumpur, Raddisson Plaza dan Terasen Centre bursa saham Singapura pada suku pertama tahun depan.
Penyenaraian itu dijangka mampu menjana sehingga RM1.2 billion.