TA Enterprise Teroka Peluang Maju Hartanah Di Vietnam
Oleh Suffian A Bakar
TA Enterprise Bhd akan memanfaatkan kerjasama strategiknya dengan firma pembrokeran Vietnam, Orient Securities Corporation untuk meneroka peluang perniagaan hartanah di Negara berkenaan.
Pengarah urusan dan Ketua Eksekutofnya, Datin Alicia Tiah, berkata ia berikutan minat ditunjukkan firma pembrokeran Vietnam itu untuk memajukan 500 hektar tanah miliknya.
Saya akan ke Vietnam bagi memuktamadkan pembelian saham dalam Orient Securities dan dalam lawatan itu kami akan membincangkan mengenai cadangan memajukan 500 hektar kawasan milik syarikat itu bagi tujuan komersial.
“Kami akan memaklumkan mengenai perician model perniagaan (segmen hartanah) berkenaan apabila pulang dari Hanoi nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian penyediaan penyelesaian perniagaan bersepadu antara TA Properties Sdn Bhd dengan syarikat teknologi maklumat IFCA MSC Sdn Bhd di Kuala Lumpur, semalam.
Penyelesaian berasaskan internet berkenaan menghubungkan TA Properties dengan pembekal, rakan niaga, dan pelanggan, selain menyepadukan perniagaan hartanah seperti pengurusan jualan, tempahan dan maklum balas daripada pelanggan.
Tiah mewakili TA Enterprise, manakala IFCAMSC oleh Pengarah Eksekutifnya, Ian Jeremy Jones.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif TA Properties, Kimmy Khoo dan Pengurus Besar IFCA MSC, Kuan Seng Wood.
TA Properties adalah anak syarikat milik penuh TA Enterprise yang mengkhusus dalam pembangunan hartanah di kawasan mewah sekitar Lembah Klang.
Ia juga memiliki beberapa hartanah di luar Negara seperti Radisson Plaza di Sydney; dan Terasen Centre di Vancouver.
Antara project yang dimajukannya ialah Idaman Villas Damansara; Damansara Idaman; dan Idaman Residence Condo.
Tiah berkata, TA Properties akan melancarkan dua lagi project hartanah di Lembah Klang termasuk projek perumahan mesra alam mewah di Ampang Hilir.
Beliau Berkata, syarikat juga bercadang menyenaraikan amanah pelaburan hartanah (Reit) membabitkan tiga hartanah iaitu Menara TA One di Kuala Lumpur, Radisson Plaza di Sydney dan Terasen Centre di Vancouver di bursa saham Singapura pada suku pertama tahun depan.
Laporan sebelum ini menyebut penyenaraian itu dijangka menjana sehingga RM1.2 billion yang akan digunakan bagi membiayai project pembangunan sedia ada.